Sunday, September 3, 2023

Berdamai

   


 Serangkap kata yang kerap menyapa pendengaranku. Aku ingin, aku mahu mengikat perjanjian pada diriku yang satu. Berdamai dengan luka yang telah tinggal parut. Kemudian bersahabat dengan masa depan. Syurgaku pernah bilang, "berdamailah dengan takdir. Kadang-kadang ada takdir yang tidak mampu kita ubah walaupun seberusaha macam mana kita mahu ubah tapi akhirnya masih menjadi takdir yang sama".

     Ingin sekali aku menepuk dada dan berbisik, sudah-sudahlah menyakiti diri, sudah-sudahlah membiarkan sekeping hati terus tenggelam dalam lautan air mata, semuanya sudah berlalu. Ingin sekali. Namun aku juga tertanya-tanya, sejauh manakah aku harus menerima? Berpura-pura untuk berdamai tetapi diri yang satu masih hebat berperang. Aku ingin berdamai, mendakap dan menutup pentas yang telah lama bermain. Tetapi aku sedar, aku hanya penonton yang hanya bisa menonton bukan pengarah yang mampu mengubah pentasnya. 

    Nukilan demi nukilan aku tinta menjadi wadah segala teriakan minda. Lembaran demi lembaran menjadi penuh dengan coretan kata-kataku agar tenang lagi diri apabila dihempap perasaan sama.Niatku hanya ingin lembaran putih menjadi pengisi segala tidak kententeraman jiwaku sehinggalah aku dapat berdamai dengan diri yang satu. Aku menolak untuk bahagia sekarang supaya tiada tersakiti. Tidak pernah aku pinta seseorang datang memberi penawar kerana aku tahu, penawar yang mujarab hanya ada dalam diriku sendiri. terus berdamai jiwa, terus tenang walaupun hanya dentingan sesaat.


-MekAin-

No comments:

Post a Comment

Usaha, tawakal dan doa!

Kekejaman Seorang Wanita

Kekejaman seorang wanita yang telah diaksara, yang membunuh segar sebuah sukma. Menikam segenap ruang yang ingin merasai bahagia. Memusnahka...