Cinta. Perasaan yang tidak mampu dihuraikan oleh pena penulis dengan tepat. Kerana perasaan itu menyentuh jiwa yang berbeza. Ada yang mendapat manis, ada juga yang mendapat pahitnya. Namun, perasaan itu mampu menggetarkan segenap jiwa yang damai. Itu pasti.
Tidak mungkin aku lupakan perasaan yang membangunkan sukmaku yang sedang lena. Mengalirkan setiap getaran pada segenap tubuhku. Membuai diriku menjadi antara lena atau jaga. Merintih setiap kali hilang daripada pandangan. Sehinggalah aku menerima dan menelan sebuah rasa yang tidak pernah aku alami. Sakit tapi menenangkan. Rasa perit tapi itu penawarnya. Aku tersedar sebelum terjatuh. Aku terlena sebelum terjaga. Dan akhirnya, aku memilih untuk terus lena sehingga aku tenggelam.
Semakin hari semakin aku tidak mampu meraih nyaman udara. Aku lemas dalam perasaan. Sehingga detik waktu terus bergerak dalam kelemasan itu. Aku tahu caranya tapi tidak untuk diriku. Lalu aku terdampar di darat yang penuh dengan manik mutiara. Rupanya itu air mataku. Titisan jernih yang terusku rintih dalam jiwaku bertahun-tahun. Tiada siapa yang mendengar kerna rupanya dibawa ke pulau itu. Lama aku membiarkan diriku di situ. Pulau yang membawa aku ke dalam lena perasaan itu lagi. Aku kerinduan dalam kelemasan perasaan.
Wajah yang semakin kabur. Suara yang seakan sudah hilang dari fikiran. Tingkah yang tidak lagi aku ingati. Hanya secebis memori perasaan itu yang masih menghidupkan jiwa yang lena. Aku berpeluk tubuh ketakutan. Menangis lagi dalam lemas rindu. Kerana khawatir secebis perasaan itu akan menghilang juga. Lalu aku terus menari di atas kesakitan. Tubuhku ringan berdansa di antara buih-buih kenangan itu. Setiap satunya aku dakap dan tersenyum. Itulah sakit yang menenangkan gelora sepi sang perindu. Aku candu dalam rindu. Tanpa mengenal lelah kakiku menari. Dan terus menari.
Sehinggahlah aku memangku gelaran Penunggu Rindu. Yang aku tinta di atas halaman buku kehidupan. Semoga memori ini terus bertahan agar aku dapat terus berdansa bersama rasa itu.
-MekAin-
No comments:
Post a Comment