Saturday, March 18, 2023

Raut wajah sama

 Kemana sahaja kaki melangkah di atas muka bumi. Tidak pernah sekali pandanganku berhenti mencari kelibat dia. Seseorang yang berjaya membangunkan jiwa lenaku. Seseorang yang membuatkan aku terus berdansa di atas lantai kesakitan itu. Seseorang yang aku ingati kala aku sepi. Dan menangis, tersenyum kala aku mengingatinya. Walau bertahun lamanya masa berlalu, anehnya perasaan ini masih mara di sana. Di lubuk hati yang tidak aku ketahui tempatnya. Perasaan itu mengawal seluruh taman rasa dalam dadaku. Sehingga aku tidak dibenarkan merindui selain dia. Kerana itu aku majnun dalam mencari dia di setiap derapan langkah kakiku.

 Hampir di setiap ceruk aku singgah dan mencari lagi. Namun sehingga sekarang masih lagi kosong sebagai jawapan. Aku mencari lagi bertahun-tahun sehinggalah aku berjumpa manusia yang seraut wajah hampir sama dengannya. Masakan itu boleh buat aku bahagia? Iya sebagai jawapanku. Itu sahaja mampu membuatku tiada arah tujuan, tersenyum seperti Qaiz Majnun, berdebar seperti tiada hari esok dan menangis seakan tiada ubatnya. Adakah itu adil?

 Semestinya tidak. Kerana itu jiwa aku sering ditimpa kecewa berkali-kali. Perasaan yang aku bina masih di atas akar yang sama. Tidak mungkin aku mampu memberi perasaan ikhlas kepada seseorang sekiranya jiwaku masih dirantai perasaan itu. Dan tidak mungkin aku dapat bebaskannya selagi Tuhan tidak berkehendak begitu. Namun aku mencari lagi. Dan apabila aku temui, raut wajah yang sama, tingkah yang persis seperti dia. Tidak lagi aku mendekatinya kecuali hanya memandang daripada jauh. Bagi mengisi kerinduan hati yang sadis kerana cinta. Walaupun aku jelas mengetahui itu palsu, tetapi itu yang menyenangkan hatiku seketika.

 Aku juga sedang berjuang. Berperang bersama perasaan yang mengawal emosi diriku. Semoga langkah kakiku menemui derapan yang tepat. Semoga tiada lagi raut wajah sama aku temui sebalik pemilik hakiki.

-MekAin-

No comments:

Post a Comment

Usaha, tawakal dan doa!

Kekejaman Seorang Wanita

Kekejaman seorang wanita yang telah diaksara, yang membunuh segar sebuah sukma. Menikam segenap ruang yang ingin merasai bahagia. Memusnahka...