Wahai arjuna,
Nyeri rasa senandika,
Laksana lara renjana,
Tertipu afsunmu,
Terleka bahari senyumanmu,
Citra sukmaku gelita,
Menjadi kejora bertempiran di cakerawala,
Sepi tanpa candra.
Kemana sahaja kaki melangkah di atas muka bumi. Tidak pernah sekali pandanganku berhenti mencari kelibat dia. Seseorang yang berjaya membangunkan jiwa lenaku. Seseorang yang membuatkan aku terus berdansa di atas lantai kesakitan itu. Seseorang yang aku ingati kala aku sepi. Dan menangis, tersenyum kala aku mengingatinya. Walau bertahun lamanya masa berlalu, anehnya perasaan ini masih mara di sana. Di lubuk hati yang tidak aku ketahui tempatnya. Perasaan itu mengawal seluruh taman rasa dalam dadaku. Sehingga aku tidak dibenarkan merindui selain dia. Kerana itu aku majnun dalam mencari dia di setiap derapan langkah kakiku.
Hampir di setiap ceruk aku singgah dan mencari lagi. Namun sehingga sekarang masih lagi kosong sebagai jawapan. Aku mencari lagi bertahun-tahun sehinggalah aku berjumpa manusia yang seraut wajah hampir sama dengannya. Masakan itu boleh buat aku bahagia? Iya sebagai jawapanku. Itu sahaja mampu membuatku tiada arah tujuan, tersenyum seperti Qaiz Majnun, berdebar seperti tiada hari esok dan menangis seakan tiada ubatnya. Adakah itu adil?
Semestinya tidak. Kerana itu jiwa aku sering ditimpa kecewa berkali-kali. Perasaan yang aku bina masih di atas akar yang sama. Tidak mungkin aku mampu memberi perasaan ikhlas kepada seseorang sekiranya jiwaku masih dirantai perasaan itu. Dan tidak mungkin aku dapat bebaskannya selagi Tuhan tidak berkehendak begitu. Namun aku mencari lagi. Dan apabila aku temui, raut wajah yang sama, tingkah yang persis seperti dia. Tidak lagi aku mendekatinya kecuali hanya memandang daripada jauh. Bagi mengisi kerinduan hati yang sadis kerana cinta. Walaupun aku jelas mengetahui itu palsu, tetapi itu yang menyenangkan hatiku seketika.
Aku juga sedang berjuang. Berperang bersama perasaan yang mengawal emosi diriku. Semoga langkah kakiku menemui derapan yang tepat. Semoga tiada lagi raut wajah sama aku temui sebalik pemilik hakiki.
-MekAin-
Cinta. Perasaan yang tidak mampu dihuraikan oleh pena penulis dengan tepat. Kerana perasaan itu menyentuh jiwa yang berbeza. Ada yang mendapat manis, ada juga yang mendapat pahitnya. Namun, perasaan itu mampu menggetarkan segenap jiwa yang damai. Itu pasti.
Tidak mungkin aku lupakan perasaan yang membangunkan sukmaku yang sedang lena. Mengalirkan setiap getaran pada segenap tubuhku. Membuai diriku menjadi antara lena atau jaga. Merintih setiap kali hilang daripada pandangan. Sehinggalah aku menerima dan menelan sebuah rasa yang tidak pernah aku alami. Sakit tapi menenangkan. Rasa perit tapi itu penawarnya. Aku tersedar sebelum terjatuh. Aku terlena sebelum terjaga. Dan akhirnya, aku memilih untuk terus lena sehingga aku tenggelam.
Semakin hari semakin aku tidak mampu meraih nyaman udara. Aku lemas dalam perasaan. Sehingga detik waktu terus bergerak dalam kelemasan itu. Aku tahu caranya tapi tidak untuk diriku. Lalu aku terdampar di darat yang penuh dengan manik mutiara. Rupanya itu air mataku. Titisan jernih yang terusku rintih dalam jiwaku bertahun-tahun. Tiada siapa yang mendengar kerna rupanya dibawa ke pulau itu. Lama aku membiarkan diriku di situ. Pulau yang membawa aku ke dalam lena perasaan itu lagi. Aku kerinduan dalam kelemasan perasaan.
Wajah yang semakin kabur. Suara yang seakan sudah hilang dari fikiran. Tingkah yang tidak lagi aku ingati. Hanya secebis memori perasaan itu yang masih menghidupkan jiwa yang lena. Aku berpeluk tubuh ketakutan. Menangis lagi dalam lemas rindu. Kerana khawatir secebis perasaan itu akan menghilang juga. Lalu aku terus menari di atas kesakitan. Tubuhku ringan berdansa di antara buih-buih kenangan itu. Setiap satunya aku dakap dan tersenyum. Itulah sakit yang menenangkan gelora sepi sang perindu. Aku candu dalam rindu. Tanpa mengenal lelah kakiku menari. Dan terus menari.
Sehinggahlah aku memangku gelaran Penunggu Rindu. Yang aku tinta di atas halaman buku kehidupan. Semoga memori ini terus bertahan agar aku dapat terus berdansa bersama rasa itu.
-MekAin-
From the pain come to dream. Mimpi adalah harapan kepada si pemimpi. Sedang dunia berlaku kejam, mendera perasaan, mempersulitkan langkah untuk terus maju kemudian khayalan mimpi datang menerpa saat diulit lena. Bahagianya mimpi. Indahnya sekiranya menjadi kenyataan. Tetapi adakah mimpi itu boleh berubah menjadi suatu kesakitan di saat semuanya menjadi realiti? Benarkah mimpi memberi kebahagiaan seketika walaupun palsu atau kesakitan yang terus disembunyikan? Mungkin kesakitan itu yang menjadi mimpi bukan mimpi menjadi bahagia?
Iya, akulah sang pemimpi derita itu. Aku sangka makna dibalik mimpi itu tersirat seribu keindahan namun rupanya itulah realiti yang mengejutkan aku bahawa lekas sedar dari dunia bawah alam. Bertemu dengan seseorang yang sangat sudah lama tidak bersua dan insan itu yang berjaya membuatkan sang penulis terus lena dalam khayalan. Tetapi rupanya pertemuan fana itu amat menyakitkan. Semakin hadir dia, semakin sakit jiwa dihimpit perasaan aneh yang sukar diungkap. Bahkan tinta penulis tidak dapat menghuraikan hati yang sudah lama menunggu. Bahkan sakit dalam mimpi itu menjadi sangat realiti ketika terjaga.
Sekiranya Tuhan menulis takdir menemui dua insan itu, semoga cekal dan tabahlah wahai jiwa-jiwa yang sedang menagih sesuatu kepastian. Walaupun sukar dan perit pertemuan empat mata namun semua itu akan berlalu. Jiwa yang terus didera bertahun juga akan aman. Berdamailah dengan kesakitan di dada agar dapat bersahabat dengan ketenagan di masa kini.
-Mek Ain-
Don't let your emotion makes your desicion. Sejenak aku terdiam dan lama mengamati makna disebalik ayat itu. Iya, bukan senang untuk mengawal emosi terutamanya bagi seoranag wanita. Sukar untuk menetapkan keputusan tanpa melibatkan secebis emosi atau perasaan. Tapi sejujurnya, keputusan yang disingkapi dengan emosi akan membuahkan pilihan yang tidak tepat. Pilihan yang tidak kukuh pendirian, kabur dan menyakiti orang sekeliling. Itu yang aku pelajari daripada halaman ceriteraku. Kali kedua, aku melakukan keputusan yang tekad dan amat tepat aku rasai dalam hidup. Seperti sebelum ini, walaupun indah perasaan yang menyelimuti raga kecilku namun masih tidak dapat menghalang tekadku dalam medan hidup. Matlamat yang aku sematkan dalam benak hati aku, sekuatnya untuk memastikan diri ini tidak terbuai dengan perasaan indah itu. Seperti sebelum ini juga, aku memilih pengorbanan yang penuh dengan kesakitan berbanding pengorbanan yang memberi aku ketenangan. Sama ada sebelum atau kini, aku masih rela membiarkan dada ini menyimpan dan menanggung rasa sakit melepaskan seorang diri.
Mungkin ini akan memberi kesan dalam perjalanan aku meniti kehidupan, namun aku sentiasa berpegang kepada ayat bahawa setiap pilihan mempunyai akibat dan kesan. Bersiap atau tidak diri, harus juga memaksa untuk menerima kesannya. Mungkin aku terlalu redha atau mungkin aku sudah terlalu lena dalam sakit pengorbanan sebab itu aku melakukannya lagi keputusan sedemikian. Bukan kerana aku tidak mahu maju ke hadapan, cuma aku masih tidak mahu melangkah ke masa depan yang bukan dalam tekadku. Perasaan ingin berjaya dan membahagiakan syurgaku terlalu hebat berperang dengan perasaan indah yang turut Rabbku hadirkan dalam merah sukma. Manusia biasa pasti akan memilih kedua-duanya dan berdamai dengan perasaan bergelora namun sebaliknya tidak bagiku. Aku yakin untuk menggapai indahnya kejayaan aku harus merasai sakitnya sebuah pengorbanan. Aku harus melepaskan tempat yang membuatkan aku istirahat terlalu lama. Walaupun pada mulanya aku goyah dan hampir terbuai dengan perasaan indah itu tetapi sekelip mata tekadku merampas ketenangan lena dalam perasaan.
Kala itu, aku bersyukur Tuhan melemahkan perasaan indah itu walaupun sakit namun Tuhan tidak kejam. Dia lemahkan perasaan indah dalam jiwaku dan Dia juga menguatkan seutuhnya dada ini menahan sakit kepergian perasaan itu. Sejujurnya, aku ingin menuturkan seribu kata maaf kepada yang terkesan dengan pilihanku. Andai diberi peluang dan diputarkan masa lagi, aku masih akan melakukan keputusan yang sama walaupun sakit yang akan aku rasai berulang kembali. Tetapi segala memori yang tercipta, aku arkib dalam buku ingatan yang tidak mungkin aku lupa.
Semoga mereka yang terus berjuang akan kuat dalam menempuh medan perasaan. Dan bagi mereka yang terluka, semoga ada manis dalam kesakitan itu. Tidak mudah untuk menerima namun percayalah, yang baik pasti akan datang di masa yang tepat. Semoga bahagia sentiasa menjadi milik insan yang membaca nukilan jiwa sang penulis ini.
-MekAin-
Kekejaman seorang wanita yang telah diaksara, yang membunuh segar sebuah sukma. Menikam segenap ruang yang ingin merasai bahagia. Memusnahka...