Don't let your emotion makes your desicion. Sejenak aku terdiam dan lama mengamati makna disebalik ayat itu. Iya, bukan senang untuk mengawal emosi terutamanya bagi seoranag wanita. Sukar untuk menetapkan keputusan tanpa melibatkan secebis emosi atau perasaan. Tapi sejujurnya, keputusan yang disingkapi dengan emosi akan membuahkan pilihan yang tidak tepat. Pilihan yang tidak kukuh pendirian, kabur dan menyakiti orang sekeliling. Itu yang aku pelajari daripada halaman ceriteraku. Kali kedua, aku melakukan keputusan yang tekad dan amat tepat aku rasai dalam hidup. Seperti sebelum ini, walaupun indah perasaan yang menyelimuti raga kecilku namun masih tidak dapat menghalang tekadku dalam medan hidup. Matlamat yang aku sematkan dalam benak hati aku, sekuatnya untuk memastikan diri ini tidak terbuai dengan perasaan indah itu. Seperti sebelum ini juga, aku memilih pengorbanan yang penuh dengan kesakitan berbanding pengorbanan yang memberi aku ketenangan. Sama ada sebelum atau kini, aku masih rela membiarkan dada ini menyimpan dan menanggung rasa sakit melepaskan seorang diri.
Mungkin ini akan memberi kesan dalam perjalanan aku meniti kehidupan, namun aku sentiasa berpegang kepada ayat bahawa setiap pilihan mempunyai akibat dan kesan. Bersiap atau tidak diri, harus juga memaksa untuk menerima kesannya. Mungkin aku terlalu redha atau mungkin aku sudah terlalu lena dalam sakit pengorbanan sebab itu aku melakukannya lagi keputusan sedemikian. Bukan kerana aku tidak mahu maju ke hadapan, cuma aku masih tidak mahu melangkah ke masa depan yang bukan dalam tekadku. Perasaan ingin berjaya dan membahagiakan syurgaku terlalu hebat berperang dengan perasaan indah yang turut Rabbku hadirkan dalam merah sukma. Manusia biasa pasti akan memilih kedua-duanya dan berdamai dengan perasaan bergelora namun sebaliknya tidak bagiku. Aku yakin untuk menggapai indahnya kejayaan aku harus merasai sakitnya sebuah pengorbanan. Aku harus melepaskan tempat yang membuatkan aku istirahat terlalu lama. Walaupun pada mulanya aku goyah dan hampir terbuai dengan perasaan indah itu tetapi sekelip mata tekadku merampas ketenangan lena dalam perasaan.
Kala itu, aku bersyukur Tuhan melemahkan perasaan indah itu walaupun sakit namun Tuhan tidak kejam. Dia lemahkan perasaan indah dalam jiwaku dan Dia juga menguatkan seutuhnya dada ini menahan sakit kepergian perasaan itu. Sejujurnya, aku ingin menuturkan seribu kata maaf kepada yang terkesan dengan pilihanku. Andai diberi peluang dan diputarkan masa lagi, aku masih akan melakukan keputusan yang sama walaupun sakit yang akan aku rasai berulang kembali. Tetapi segala memori yang tercipta, aku arkib dalam buku ingatan yang tidak mungkin aku lupa.
Semoga mereka yang terus berjuang akan kuat dalam menempuh medan perasaan. Dan bagi mereka yang terluka, semoga ada manis dalam kesakitan itu. Tidak mudah untuk menerima namun percayalah, yang baik pasti akan datang di masa yang tepat. Semoga bahagia sentiasa menjadi milik insan yang membaca nukilan jiwa sang penulis ini.
-MekAin-
No comments:
Post a Comment