Sunday, November 27, 2022

GELISAH

 


Semasa sedang melakukan tugasan sebagai ahli multimedia kelab kolej, tiba-tiba terlintas perasaan rindu pada keluarga yang jauh di mata. Sering bermain di benakku. Khabar baik kah keluargaku di sana? Sedang apakah mereka? Adakah mereka sedang tertekan atau  gembira? Walaupun hampir setiap hari, aku menelefon dan bertanya keadaan mereka namun perasaan risau masih menyelubungi kalbu. Mereka tiada di depan mataku, masakan jiwa ini dapat bertenang. Menuntut di jalan ilmu, mengajar aku makna berjauhan dari yang tersayang. Meskipun merasai sebuah kehilangan, tetapi aku mengerti tiada kejayaan tanpa pengorbanan.

Wahai Rabb, hamba titipkan orang-orang yang paling hamba kasihi dalam jagaanMu. Amin.

-Mekain-

TARIAN SUFI

 


Tarian Sufi. Kali pertama melihat tarian ini adalah dalam kelas pertama penulisan kreatif, Dr Mawar. Saat itu, mata aku terpaku lama memandang skrin di depan. Hati aku berdetak, tertanya. Kenapa tariannya begitu menyedihkan seakan penari sedang putus harapan? Dari situ, aku mencari apa sebenarnya kebenaran tarian ini. Rupanya Tarian Sufi namanya, bertujuan menyerahkan diri kepada Sang Tuhan. Akhirnya, aku mengerti mengapa sosok belakang penari itu kelihatan sayu walaupun hanya pada sekeping gambar.

Saturday, November 12, 2022

KEMAAFAN

 

Kemaafan. Itulah sebuah kata yang memberi sinar kepada sukmaku. Ungkapan yang sangat mudah dituturkan namun berat dijiwai. Dulu, aku pernah berasa marah sehingga melahirkan kebencian yang begitu mendalam. Kerasnya sekeping hati yang pernah lembut sehingga tiada nasihat yang menembusi atmaku. Titisan air mata yang laju menurun bukan kerana kesedihan tetapi jelas kemarahan. Aku pendam dan dalam diam menanam kebencian. Sehingga yang salah di mataku tetap salah dan yang betul juga tetap salah. Pada suatu hari, Tuhan telah menitipkan seseorang datang dalam hidupku. Ringkas dan tepat kata beliau. Saat itu, pintu kemarahanku diketuk lembut oleh serangkai ayat yang mengubah pembenci menjadi pemaaf. 

"Jangan kita membenci pelaku dosa sebaliknya bencilah pada dosa yang dilakukannya."

Ketika alunan ayat itu menerpa cuping telinga, jiwa yang ampuh dek kebencian, kemarahan dan tangisan serta merta terlebur. Tersentak aku kerana menghukum manusia sedangkan diri ini masih menampung seribu dosa tidak terampun. Aku mula belajar memaafkan mereka dan berdamai dengan diri sendiri. Sejak itu, hati aku bebas dari perasaan yang menyesak dada dan yang tinggal hanya sinaran yang terus memberi hidup sekeping jiwa ini.

Saturday, November 5, 2022

HERO


 Jam sudah menginjak ke angka 3 pagi dan ketika manusia sedang lena diulit mimpi, diriku masih segar bertemankan alunan muzik yang mendayu. Waktu terus berlalu, tiada tanda lelah singgah di katuk cuma sebuah memori yang aku rindu sedang asyik bermain di hati. Perasaan rindu kepada seorang hero yang aku gelarnya ayah ketika aku sedang berjuang di jalanku. Anugerah Tuhan yang amat aku syukuri kerana memberikan aku seorang ayah yang ampuh dan tidak pernah rapuh saat dibadai ombak. Tidak pernah sekali air matanya menitis di depanku, tidak pernah sekali aku melihatnya jatuh malah hanya senyuman yang sentiasa meniti di bibirnya saat pulang ke rumah.  Dialah yang mengajar aku erti kehidupan, erti kekuatan, erti kesabaran dan pengalaman hidupnya kupinjam sebagai pedoman aku menjalani hariku. Aku masih ingat hangat dakapan seorang ayah ketika ingin melepaskan aku belajar jauh dari pandangannya. Tatkala itu, aku dapat merasai perasaan sedih dibalik kehangatan itu namun aku utuhkan hatiku kerana hero ku pernah menitipkan pesan yang menjadi ubat kepadaku untuk bertahan. Oleh sebab itu, aku masih berjuang, berdiri teguh di jalanku di samping mengharapkan syurga untuk insan yang ku gelar ayah. Suatu hari nanti, akan aku pulang di sisi heroku bersama segulung ijazah yang ku janjikan dan harapanku akan aku pikul semua beban yang selama ini dipikul oleh hero ku sendiri.

-3:45 a.m-

Usaha, tawakal dan doa!

Kekejaman Seorang Wanita

Kekejaman seorang wanita yang telah diaksara, yang membunuh segar sebuah sukma. Menikam segenap ruang yang ingin merasai bahagia. Memusnahka...