Jam sudah menginjak ke angka 3 pagi dan ketika manusia sedang lena diulit mimpi, diriku masih segar bertemankan alunan muzik yang mendayu. Waktu terus berlalu, tiada tanda lelah singgah di katuk cuma sebuah memori yang aku rindu sedang asyik bermain di hati. Perasaan rindu kepada seorang hero yang aku gelarnya ayah ketika aku sedang berjuang di jalanku. Anugerah Tuhan yang amat aku syukuri kerana memberikan aku seorang ayah yang ampuh dan tidak pernah rapuh saat dibadai ombak. Tidak pernah sekali air matanya menitis di depanku, tidak pernah sekali aku melihatnya jatuh malah hanya senyuman yang sentiasa meniti di bibirnya saat pulang ke rumah. Dialah yang mengajar aku erti kehidupan, erti kekuatan, erti kesabaran dan pengalaman hidupnya kupinjam sebagai pedoman aku menjalani hariku. Aku masih ingat hangat dakapan seorang ayah ketika ingin melepaskan aku belajar jauh dari pandangannya. Tatkala itu, aku dapat merasai perasaan sedih dibalik kehangatan itu namun aku utuhkan hatiku kerana hero ku pernah menitipkan pesan yang menjadi ubat kepadaku untuk bertahan. Oleh sebab itu, aku masih berjuang, berdiri teguh di jalanku di samping mengharapkan syurga untuk insan yang ku gelar ayah. Suatu hari nanti, akan aku pulang di sisi heroku bersama segulung ijazah yang ku janjikan dan harapanku akan aku pikul semua beban yang selama ini dipikul oleh hero ku sendiri.
-3:45 a.m-
No comments:
Post a Comment