Wednesday, October 9, 2024

Kekejaman Seorang Wanita





Kekejaman seorang wanita yang telah diaksara, yang membunuh segar sebuah sukma. Menikam segenap ruang yang ingin merasai bahagia. Memusnahkan harapan yang sedang bergentayangan, tanpa belas. Kekejaman seorang wanita yang tidak pernah terlihat pada mata sang bunga, tidak pernah diakui oleh pemiliknya, sedangkan begitu besar tindakannya pada yang menaruh harap. 

Seakan-akan mengulang segaris kata pemilik utama Tenggelamnya Kapal Van der Wijck.

Namun,

    Kekejaman wanita itu bersebab, bukan kerana suka rianya, bukan kerana kebahagiaannya, dan bukan juga kerana simpati. Tetapi, kekejaman itu perisai yang cuba dipertahankan untuk menjaga segenap jiwa yang terlalu rapuh. Kekejaman itu yang ditelan juga sakit, didakap terasa perit, dilepaskan tidak mampu kerana ketakutan untuk hancur, melenyapkan rasa ingin berdamai. Bagi tatapan selain pemiliknya, hanyalah sebuah tindakan yang sangat kejam dan tiada ihsan. Maka, biar kekejaman itu bercitra sedemikian, hancur pada hati yang lain namun kekuatan bagi pemiliknya. Yang hancur, rawat jiwamu dan temukan wanita yang berselimutkan kedamaian kerana wanita kejam itu, masih tidak mampu bersahabat dengan sang damai.


-MekAin-


Wednesday, June 12, 2024

Kelana

 Kerinduan apa yang sedang berkelana di tengah kesibukkan jiwa ini? Apa yang belum diungkap dan soalan sebagaimana harus aku lontarkan agar jawapan meredakan kebisingan aneh ini. Senandika yang sentiasa membangunkan seluruh alam sistemku kemudian meninggalkannya tanpa tujuan. Aksara yang sedang berdiri di tengah kesibukkan buana sukma, menunggu pemilik mencitrakannya tetapi seribu kesalan yang menjadi jawapan. Kemaafan, kehinaan, kepiluan apa yang perlu direka agar menjadi ketenangan kepada atma yang senandika? Terus mencari setiap pelusuk buana asing yangku kenalinya sebagai 'buana rindu'.

-mekain-

Friday, April 19, 2024

Derapan

 


24.4.19

    Di ruang dingin yang hanya dibaluti oleh putih urna, bunyi derapan demi derapan kedengaran. Seakan irama yang sedang bermain dan menggusarkan jiwa si halwa. Tempat istirahat yang berpenghuni kini kosong, kusam keadaannya walaupun warna yang dianggap suci membaluti segenap ruang itu. Kala ini, ada yang sedang berjuang dan ada si penanti perjuangan itu. Ruang yang sepi itu tidak menenangkan jiwa, tidak memberi kenyamaan lagi sebaliknya perlahan mendera segenap rasa. Serangkap demi serangkap doa telah dilangitkan, memasang setingginya cahaya harapan kepada Kun Faya KunNya. Menyelit juga harapan tiada hujan kasar menghempas bumi ketika sudah cukup dingin buana ini. Aksara dilakar di laman putih bagi menzahir rasa yang sedang berkelana. Seolah-olah mata pena yang ingin menyelesaikan masalah melalui tintanya. Semakin lama, semakin kurang rasa gusar itu walaupun derapan masih bersilih ganti.  Akhirnya, harapan pemilik pena itu digantungkan pada serangkai ayat yang penuh keajaiban iaitu Hasbunallah Wanikmal Wakil.


-MekAin-

Thursday, April 11, 2024

Malam itu

    

24.4.10

  Malam itu, serangkap kata-kata telah aku terima dari seorang insan. Setiap baitnya, ku sulam, hadam dan amati, tanpa ada apa-apa prejudis dalam diri. Ku cuba fahami apa yang ingin disampaikan, tersurat dan tersiratnya. Seketika, kedengaran ikhlas dan tulus. 

    Malam itu, dalam diam, serangkap doa juga telah ku panjatkan pada langit, semoga ikhlas itu tidak mengkhianati pendoa. Semoga tulus itu dapat meleraikan belenggu rasa di hati pendoa, sekiranya itu kehendakNya.

Terima kasih, insan tulus.


-mekain-

Sunday, March 31, 2024

Ratu

 Seorang ratu pernah memberitahuku bahawa "takdir dalam hidup ada dua, takdir yang sudah ditetapkan, tidak boleh diubah dan takdir yang boleh diubah dengan doa. Ratuku memberitahu sekiranya dihadapkan dengan takdir yang pertama, ajarlah diri untuk berdamai dengan takdir itu walaupun sangat sukar. Kerana takdir itu akan sering bertentang dengan apa yang selalu kita panjatkan pada langit but Allah is the best planner. Yakin bahawa takdir itu yang terbaik untuk kita."

Iya, ini yang sedang ku hadap kini. Takdir yang sudah ditinta itu sedang melalui jalur hidupku, takdir yang menyerang segenap rasa jiwaku. Awalnya, sangat sukar untukku terima, berlinang air mata juga saat ku bicara betapa sakitnya apabila Allah tidak memakbulkan doaku. Aku marah pada waktu yang sama, aku tahu ini yang terbaik. Cuma untuk menerima, sabar dan mencapai tahap tawakal sangat sukar prosesnya. Sebab ada beberapa impianku telah dicapai oleh orang lain, ada perkara yang sangat aku dambakan, orang lain telah memiliki dulu. Dan aku telah cuba, terus cuba untuk menggapai titik terbaik namun aku masih gagal. Masakan jiwaku tidak runtun? Masakan aku terus redha tanpa ada setitis pun air mataku jatuh? Mana mungkin, kerana aku tiada kekuatan seutuh besi di dalam. Aku masih seorang manusia yang diberi gelaran wanita, dan emosi sering menjadi yang pertama muncul apabila ditimpa ujian sedemikian.

Ketika itu, air mata yang menjadi peneman setiap prosesku untuk meredhai segalanya. Aku cuba mencari segenap kekuatan untuk bangkit dan menjadi seseorang yang layak untuk membahagiakan syurgaku di masa akan datang. Tujuan utama yang membawa aku kepada medan ini, dan aku harus merealisasikannya.

Semoga ada jalan terbaik untukku mengembalikan semula senyuman paling manis syurgaku, amin.

-Ain-


Friday, March 15, 2024

Dia

 

4.3.16

  Aku bertemu lagi si pemilik rindu ini, dengan cara yang sama. Kebisuan masih menjadi peneman di antara kami dan yang seakan bicara hanyalah tatapan yang mengisi ruangan kosong itu seperti dulu. Setiap teriakan selama ini akhirnya menjadi bait-bait ayat dalam tulisan, menjadi kisah dalam tinta nukilan yang membuatkan aku tidak mampu mengusirnya pergi. Sebegitu lemah sukma yang selama ini didik keras dan kental melawan rasa, namun tetap kalah pada rasa yang lepas. 

  Rindu yang mengguyur hati sekaligus menghambat kebebasanku, yang sering meneggelamkan aku dalam sandiwara mimpi, membuatkan aku terus membina pengharapan,  akhirnya aku yang akan dihempas kecewa sendirian.

 ku mohon berhenti

Bukan kepadamu tetapi untuk diriku sendiri.

-PR-

Tuesday, January 23, 2024

Gentanyangan

       

24.1.24

Rasa yang masih bergentanyangan di tebing jiwa. Sukar untuk aku lepaskan. Sukar untuk aku melihat pemergiannya. Mungkin sebab itu, rasa yang sudah bertahun masih ada di situ. Kerna pada akhirnya, tiada yang menyambutnya. Mahupun aku atau si pemilik rasa itu. Padahal bukan sekali aku menoleh daripada rasa itu, berulang kali tetapi jalan buntu yang menerpaku. Sama ada melepasnya atau menyambutnya, iada yangku pilih. Sekujur tubuh hanya bisa melihat rasa itu sedang bergentanyangan di hujung atma. Begitu hebat cinta yang tidak tersambut itu membina ruangnya sendiri lalu mengikat pemilik jiwa untuk hanya memandangnya. Aksara demi aksara terus bertinta, hanya menumpu kepada satu nama, dia. Tidak kira berapa lama detik berlalu, tidak kira berapa banyak tangan yang sudi mengusir rasa itu tetap tidak dapat menghapuskan jejaknya di ruangan tebing atma. 


-PR-

Thursday, January 4, 2024

Halaman



4.1.24

 Ternyata aku masih berdiri di halaman yang sama. Aku mengharapkan halaman itu menjadi nyata, segala aksara berubah menjadi citra yang bolehku lihat walaupun aku jelas tahu realitinya. Tapi tidak mungkin aku mengalah, maka aku menanti lama. Seakan-akan melawan takdir yang jelas menindak keinginanku. Ternyata aku yang tidak mahu lepaskan. Manik jernih mula membasahi halamanku sehingga aksaraku menjadi hitam tinta kembali. Tapi, Ya Tuhan, aku masih berdegil. Aku tetap mahu berhenti di halaman itu. Kerna di sana, ada sesuatu yang telah aku kuburkan namun aku tidak mahu lepaskan.

-PR-




Saturday, December 30, 2023

Sukar

    


31.12.23

        Entah rasa apa yang menyetak dada di saat ini. Segala rasa  risau, khawatir, takut dengan yang akan mendatang menjadi satu. Melihat susuk yang ingin dibanggakan, tiba-tiba takut akan kegagalan membelenggu diri. Ditampar hebat dengan kenyataan bahawa usahamu tidak setanding dengan mereka yang sedang berjuang, kau masih lagi jauh, masih lagi jauh dengan kemenangan. Kala itu, sukar untuk aku mendakap jiwa sendiri  malah sukar untuk melupakan perasan yang sedang bernuasa. Terasa segala kerah masih hanya tempelan untuk merangkul kejayaan dalam medan ini.  Masih jauh untuk memetik bahkan hanya satu kata dari impian. 

    Ya Rabb, sesukar ini untuk berada di jalan pilihanku sendiri, sesulit ini untuk bertahan dan ternyata musuh terkuat yang tidak mampu aku lawan adalah diriku sendiri. Ya Rabb, senangkanlah jalan ku untuk menelusuri medan ini tanpa ada sedikit pun keraguan mahupun penyesalan. Senangkanlah jalanku seperti mana Engkau pernah melapangkan dadaku melepaskan segalanya dan memilih jalan ini. Maka aku titipkan segala urusan masa depanku dalam genggamanMu Tuhan, kerna Engkau sebaik-sebaik perancang. Amin...

-mekain-

Saturday, December 23, 2023

Penghuni lama


Setiap kali hari bahagia seseorang menyapa pandanganku,

Aku selalu tercari-cari wajahmu,

Melihat adakah kau yang menjadi 'raja sehari',

Atau hanya sekadar tetamu.

Sekiranya engkaulah 'raja sehari' bersama 'permasuri' mu,

Maka perjuangan yang sebenar telah menemui titik akhir,

Di mana aku harus benar-benar berundur,

Menghapus namamu,

Menghilangkan jejakmu,

Mengusir bayangmu,

Dan mematahkan kebisuan,

Yang sekian lama menetap tanpa sewa.

Bahkan walaupun semesta menemukan kita,

Aku tidak ingin menoleh ke arahmu.

Semoga mega biru mendakap keinginanku.

-PR-

Usaha, tawakal dan doa!

Kekejaman Seorang Wanita

Kekejaman seorang wanita yang telah diaksara, yang membunuh segar sebuah sukma. Menikam segenap ruang yang ingin merasai bahagia. Memusnahka...