Wahai ma hero,
Suatu hari sekiranya ma hero menemui warkah ini, aku di sini inginmu mengutuskan senyuman yang paling gembira daripada sanubari.
Ma Hero, detik ini, saat ini, kala setiap aksara ini tertinta di atas lembaran, ketahuilah rasa rinduku padamu melebihi luas langit mendakap bumi. Di kala aku keletihan di sini, aku ingin kembali berlindung di bawah sayapmu lagi. Aku ingin berada dalam dakapan nyamanmu. Aku ingin mendengar hangat suaramu yang menyelimuti segenap kesedihan jiwa ini.
Ma Hero, terima kasih kerana mendidiku menjadi puteri yang sebenar. Terima kasih kerana selalu mendukung cita-citaku di saat dunia cuba menjatuhkanku. Terima kasih kerana menyediakan tangga untukku mendaki walaupun ku tahu heroku tidak pernah menjejaki tangga itu. Terima kasih kerana mengorbankan lelahmu, keinginanamu, keseronokanmu demi membesarkan seseorang yang tidak akan mampu membalas jasamu. Terima kasih kerana menjadi pengawalku ketika aku ingin menghentam dunia. Terima kasih kerana menjadi penasihat terbaikku.
Ma hero, akan aku tunaikan segenap janji yang aku sematkan. Akan aku daki hingga ke puncak kejayaan dan membawamu bersama. Jadi tersenyumlah heroku. Senyumlah dengan ikhlas bahagia. Akan aku korbankan segalanya demi melihat seukir senyumanmu bahagiamu lagi.
Ma hero, setiap kali umurku meningkat, kerisauanku juga meningkat. Memikirkan berapa lama lagi masa yang aku ada untuk bersama heroku. Paling aku khawatir, apabila terjaga daripada tidur, kau masih lagi lena. Aku takut itu lena yang tak akan ada jaga. Maka tetaplah sihat, melihat aku berjaya dan membanggakanmu.
Ma hero, tidak pernah putus doaku pada Ya Rabb agar bahagia selalu menemani jiwamu. Agar di saat aku berjaya, yang menemaniku adalah jasad bernyawamu bukan hanya memoriku bersamamu. Terima kasih kerana menyayangiku melebihi dirimu sendiri. Terima kasih kerana mencintaiku melebihi aku mencintai diriku. Dan aku tahu tidak akan wujud hero sepertimu lagi dalam hidupku. Maka bertahanlah ma hero. Bertahan sehingga aku benar-benar bisa membuatmu terseyum bangga denganku.
I love you, ma hero...
Setinta rasa,
Ain
No comments:
Post a Comment