Kali pertama dalam hidup, aku menangis air mata di hadapan sahabatku. Air mata yang jatuh bersama serakan suara. Semakin lama semakin laju. Petang itu, aku melanggar lagi prinsip hidup. Akhirnya, aku lemah juga di hadapan manusia lain. Aku menceritakan segala yang tersisa di dada.
Petang itu, aku mendapat mimpi yang memberi rasa sakit dan nyeri yang sama seperti dulu. Aku melihat lagi susuk yang aku cintai tersakiti. Sebaik sahaja aku jaga, aku terus meluahkan kepada syurgaku. Tapi sebelum air mataku tumpah, aku mematikan segala bicara kami. Dan ketika itu, aku gagal menahan rasa sebak. Sekelip mata, aku menangis di hadapan sahabatku. Kala itu, perasaanku seperti ingin meledak kuat keluar daripada dada.
Petang itu juga trauma aku datang lagi. Perasaan bergetar di segenap tubuhku jelas terasa. Peristiwa lalu berpusu-pusu datang bersama mimpi yang seolah petunjuk kepada aku. Ya Tuhan, mimpi itu menyentak lagi keikhlasanku ingin berdamai dengan masa lalu. Mimpi itu menjerat lagi jiwa aku yang hampir ingin bahagia. Aku terlalu sayang susuk itu sehingga sakit dia maka sakitlah aku juga. Ya Tuhan, aku ini semua tidak nyata tapi sekiranya takdirMu berkata sebaliknya, maka kuatkan aku dan juga insan yang aku cintai.
Aku tidak meminta trauma atau peristiwa lalu itu lenyap cuma aku pinta, agar kejadian lalu berhenti mendera emosi kecil susuk itu. Sekiranya rasa itu boleh dipindahkan, aku ingin Ya Tuhan. Aku akan mendakap rasa sakit itu seeratnya dan tak akan aku lepas. Aku ingin melindungi seseorang yang aku cintai. Aku ingin memberi yang terbaik padanya. Seandainya, si kecilku tiada sayap untuk terbang maka aku gantinya. Sekuat itu aku ingin menjaga dan merawatnya.
Semoga mimpi itu hanya cerita yang tidak nyata dan semoga si kecilku terus tersenyum.
-MekAin-