Sunday, April 23, 2023

Ain

 "I'm forgive you..."

How much I wish I was allowed not to say those words. 


    Tidak mungkin aku lupakan segala perbuatan yang terakam di memori. Tidak mungkin aku lupakan segala rasa yang tertanam di jiwaku. Tidak mungkin aku padam pemicu segala traumaku. Ketika kau memperlihatkan kepada aku kejam dunia. Ketika kau memperlihatkan aku nilai sebuah kepercayaan hanya pada segaris kata. Ketika kau mempersembahkan kepada aku bahawa darjat cinta hanya serendah tapak yang kau pijak. Tidak mungkin aku lupa segala 'persembahan' yang telah aku tonton ketika usia aku sedang mengenal erti kasih, pengorbanan, kepercayaan dan kesetiaan. Jadi bagaimana aku ingin memaafkan sedangkan tidak mungkin aku melupakan? 

    Dan tidak mungkin kau tahu betapa 'persembahan' itu memberi segenap memori dan menjadi sebuah kesan tidak meninggalkan. Dalam masa singkat, aku yang pelupa masih mengingati setiap inci 'persembahan' itu. Mencengkam dan melumatkan sekeping hati yang ingin merasai bahagia. Kerana 'persembahan' itu, mataku terbuka melihat bahawa dunia ini pentas yang tidak lagi seronok tanpa air mata. Oleh kerana itu aku turut sama memegang watak dalam 'persembahan' itu. Terlalu pilu apabila kenangan itu menghentam diriku ketika bahagia sedang hampir. Terlalu sakit di dasar hati yang tidak ku ketahui ketika aku ingin mendakap segenap rasa sayang. Iya, tidak mungkin bahagia itu ada. Aku harus menolak segala kepalsuan yang datang kerana 'persembahan' yang diciptakan memberi aku pengajaran tidak terlupa. 

    Sebesar itu rasa yang tidak meninggalkan engkau berikan wahai insan kepercayaan. Tidak akan aku lupa segala memori yang tertancap pada merah sukmaku. Dan selagi segar kenangan itu, selagi itu ikhlas kemaafanku tidak akan kau terima. Kerana kebahagiaanku juga terletak kepada ikhlas kemaafan itu. Suatu hari nanti, ketika aku bebas daripada memori itu, hanya serangkap ayat ingin aku ungkapkan kepada insan kepercayaanku.


" I forgave you so we do not have to meet again in front of Allah."


Setinta rasa,

-Ain-

Thursday, April 13, 2023

Segenap Lelah

Succes


Perjalanan menimba ilmu, sukar untuk aku lalui. Ketika aku ingin berehat sejenak, tanggungjawab masih berpaut pada jiwa. Menarik aku melalui liku-liku itu. Aku jalan dengan langkah yang perlahan bersama pundak memikul pelbagai harapan. Sangat sesak. Pilu. Sukar. Bahkan aksara-aksara kecil ini tidak mampu menggambarkan lelahnya setiap langkahku. Namun benarlah kata orang, takhta kejayaan bukan milik insan biasa sebaliknya luar biasa. Kerana itu hanya insan luar biasa yang mampu melalui titian kejayaan. Semoga sepasang kaki ini tidak mengenal kata henti sehingga di penamatnya. Semoga harapan ini membawa sirna di raut wajah insan berhargaku. Dan semoga aku dapat mendakap segala rasa yang bersatu dengan darah sukmaku. Alam semesta akan menjadi saksi lelahku. Tetapi orang tuaku akan menjadi saksi kejayaanku.

Wahai Pemilik Bumantra, si hamba memohon segenap kekuatan untuk sejenak senyuman yang ingin ditatap walau hanya sedetik. Semoga insan yang ku gelar ayah dan ibu sentiasa bahagia. Amin Ya Rabb.

-Mekain-

Tuesday, April 4, 2023

Pagar Rasa

Wahai hati yang masih menyimpan nama sama. Masih menutup pagar atma. Masih mendakap rasa sayang. Belajarlah untuk lelah. Belajarlah untuk mengetahui rindu itu berat bagi seorang manusia menampung rasanya. Jadi janganlah terus berpaut dengan perasaan itu. Melingkari nama itu seolah-olah tiada nama lain akan terukir. Bertahun-tahun lamanya menyimpan rasa itu. Tiba masanya kita harus lepaskan  rasa itu. Kerana ia bukan milik kita daripada awalnya. Wahai hati, pasti perit tetapi itu melegakan. Semoga tahun ini menjadi permulaan kita melepaskan setiap rasa yang terus mencengkam sedikit demi sedikit.

-MekAin-

Usaha, tawakal dan doa!

Kekejaman Seorang Wanita

Kekejaman seorang wanita yang telah diaksara, yang membunuh segar sebuah sukma. Menikam segenap ruang yang ingin merasai bahagia. Memusnahka...