Kata-kata untuk memujuk sekeping hati yang sentiasa berasa lelah. Bila penat berlari harus tahu berhenti, bila penat mendaki harus belajar berehat. Santai-santai dalam mengharungi titian kehidupan kerana ini hanya mimpi! Kita masih sedang bermimpi, jadi tidak apa-apa untuk jatuh dan bermimpi lagi!
Bulan lepas, aku membaca sebuah kisah perjuangan cinta seorang lelaki sehingga digelar 'Majnun'. Satu dunia mengatakan cinta si Majnun adalah cinta sejati kepada sang Layla. Ya, pada awal aku mendengar ulasan teori ini daripada buah mulut seorang sahabat, aku terpegun. Aku memuji cinta si Majnun tanpa aku membaca kisah sebenar. Setelah aku membaca, aku sedar. Teori itu menjadi teori yang aku tentang. Kisah ini bukan perjuagan cinta si Majnun sebaliknya obses terhadap sesuatu. Si Majnun menjadi majnun kerana dia terlalu lagha dengan cinta yang dianggap. Kerana cinta dia hilang segalanya. Memegang gelaran yang tidak patut dipangku. Aku sedar, kadang-kadang manusia yang berakal pun tidak tahu makna cinta. Bukankah melepaskan juga itu cinta? Manakah lebih tinggi darjat antara cinta kepada seorang ibu atau wanita? Perkataan 'cinta' terlalu suci untuk kisah si Majnun. Terlalu panjang untuk aku rungkaikan pendapatku. Ada jodoh, ada masa, akan aku ulaskan lagi.
Aku rindu rumahku. Aku rindu menatap bulan dan bintang di luar rumah. Mencoretkan tulisanku di atas lembaran putih. Angin malam menemani kisah yang aku lakarkan. Perasaan bersatu di hati, membentuk jiwa seorang penulis. Mencipta ihlam dalam diriku. Saat itu, watak-watak mula hidup dan bermain dalam kamar fikiranku. Seperti sebuah filem yang aku gerakan. Ada watak, ada suara, ada kisah, ada perasaan dan ada plot. Mulai situ, tanganku seperti bukan miliku lagi. Menaip sepantas watak itu bergerak. Tiada lagi bunyi malam alam, hanya bayangan cerita yang terus tercoret. Itulah, keajaiban seorang penulis. Ketika semua derianya tertutup di fana dan terbuka di fikiran.
Cukup Tuhan singgahkan perasaan hiba dalam hati hambaNya. Perasaan yang tidak tahu di mana punca. Terus menapak tanpa mengetuk. Lebih perit, perasaan itu mencengkam segenap jiwa. Merentap segala ketenangan seharian. Ia bukan pilu kerana kasih. Bahkan bukan kerana disakiti. Tetapi perasan yang penuh emosi, kekeliruan, kesusahan, malangnya mudah dirasai. Siapa mengerti jika walang ini terus dibicara? Tiada jalan lain selain bersujud dan mengadu segalanya kepada Dia. Ajaibnya, walaupun aku tidak pernah sekali mendengar balasan. Namun rasa cintaNya jelas terasa di benak hatiku. Mendakap jiwa yang sedang lara.
Tuhan hadirkan senja hanya sebentar. Tapi siapa sangka, kehadiran yang kejap mampu menenangkan kocakan jiwa. Warna jingga yang redup. Angin bayu petang menyapa. Masih ingat jelas di kamar fikiranku ketika beriadah seorang diri di suatu petang. Aku melihat senja itu. Senja yang menerpa pandangan. Menyelimuti dadaku dengan hangat urna. Aku rindukan senja yang seketika berbanding gelap yang panjang.